Jaguh Komanwel Cari Emas SUKMA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kelibat pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong akan menjadi tumpuan apabila saingan badminton Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 membuka tirai di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.

Pemain perseorangan lelaki negara yang menduduki ranking ke-39 dunia itu akan menggalas cabaran Johor dan diletakkan sebagai pilihan utama bagi memenangi pingat emas pada temasya kali ini.

Temasya kali ini dianggap medan pemanas badan buat Tze Yong sebelum dia beraksi pada saingan Cabaran Antarabangsa Indonesia bermula 11-16 Oktober dan Masters Indonesia 18 hingga 23 Oktober yang mana kedua-duanya berlangsung di Malang.

Aksi terakhir pemain berusia 22 tahun itu di pentas antarabangsa adalah pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, bulan lalu yang menyaksikan dia yang layak pada saat akhir terkandas di pusingan kedua.

Sebelum itu, dia mempamerkan ‘magisnya’ apabila berjaya membantu skuad badminton negara memenangi emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel Birmingham selain turut meraih perak dalam saingan individu.

Sementara itu, pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei tetap berwaspada dengan ancaman daripada pencabar lain biarpun tampil pada SUKMA kali ini dengan status selaku juara bertahan termasuk dalam acara beregu wanita.

Pada edisi 2018 di Perak, Ee Wei yang mewakili Melaka meraih dua emas menerusi acara beregu campuran bersama Aaron Chia dan beregu wanita berpasangan dengan Anna Cheong.

Bagaimanpun, kali ini pemain berusia 22 tahun itu akan tampil dengan gandingan berbeza yang menyaksikan dia berpasangan bersama Tee Kai Wun dalam acara beregu campuran dan Yap Ling bagi saingan beregu wanita.

“Saya tidak letak sebarang sasaran khusus pada SUKMA kali ini. Saya tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain lain dan akan cuba berikan yang terbaik untuk menghasilkan keputusan yang positif,” kata Ee Wei.

Pada temasya kali ini, saingan badminton menawarkan lima emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita; beregu lelaki dan wanita selain beregu campuran.

Sumber : BERITA HARIAN