Jakim minta penjelasan Suhakam berhubung kajian gender ketiga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah berhubung dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi mendapatkan penjelasan mengenai justifikasi cadangan penyelidikan gender ketiga yang diadakan suruhanjaya itu.

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kenyataan Pesuruhjaya Suhakam Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus menyatakan isu transgender adalah satu ‘medical condition’ yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu individu itu seumur hidup adalah sangat mengecewakan dan jelas menyimpang daripada fakta sebenar serta ajaran Islam.

Menurutnya, hujah yang menyatakan tidak boleh menidakkan hak asasi individu itu semata-mata kerana dia dilahirkan sebagai transgender dengan ‘jiwa’ bertentangan dengan fitrahnya, sangat sukar untuk diterima akal.

Katanya, ‘jiwa’ yang bertentangan dengan fitrah perlu diuruskan supaya ia tidak merosakkan diri dan masyarakat.

“Sekiranya semua perkara boleh dilakukan dengan menggunakan hujah ‘jiwa’ nescaya huru-hara dan kucar-kacir dunia kerana kita perlu meraikan segala jenis benda haram yang menjadi kecenderungan manusia,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook (FB).

Pada Isnin lalu, Suhakam dalam memuat naik di FB dengan menyiarkan iklan mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan gender ketiga.

Semalam, media melaporkan Suhakam minta diberi kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga di negara ini.

Projek penyelidikan itu dijangka berjalan selama lima bulan bermula dari tarikh pelantikan dengan tarikh tutup permohonan pada 30 Jun ini.

Ahmad Marzuk berkata, setakat ini Suhakam masih belum memberikan sebarang jawapan dan Jakim berhak menerima penjelasan daripada suruhanjaya itu kerana ia menjadi tugas dan peranan jabatan itu untuk menangani sesuatu isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu data yang dikumpulkan itu disalah guna untuk memberi gambaran realiti sosial yang salah, memandangkan matlamat kajian secara jelas adalah berat sebelah iaitu ke arah memberi pengiktirafan kepada jantina ketiga.

“Saya berpendapat adalah lebih baik bagi Suhakam menggunakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk mengadakan kajian yang lebih relevan dengan situasi pandemik Covid-19.

“Contohnya, seperti usaha diadakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjadikan masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya lebih banyak data dan kajian diperlukan daripada semua pihak dalam mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan kes mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, khususnya yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, memperbanyak kajian yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan adalah lebih utama daripada mencari isu-isu yang menjadi bantahan majoriti rakyat di negara ini.

“Saya berharap Suhakam jujur dalam menentukan kajian yang lebih penting dalam merealisasikan hak asasi manusia di negara ini dan lebih utama adalah menghormati Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi rakyat majoriti Islam yang berpegang teguh dengan agama dan nilai moral,” katanya.

Sumber: My Metro