Jalan Bahau-Muadzam Shah Perlu Dinaiktaraf – KDYMM Yang Di-Pertuan Agong

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ROMPIN : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan supaya jalan Bahau ke Muadzam Shah dinaiktaraf kerana laluan ini merupakan jalan alternatif yang penting sekiranya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) terputus akibat banjir.

Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah, baginda melihat jalan dari Bahau ke Muadzam Shah merupakan laluan yang sangat penting sebagai alternatif kepada pengguna sekiranya berlaku banjir di LPT.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat bercemar duli mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Keratong 2, Muadzam Shah.

“Saya harap satu kajian dapat dijalankan dan diberi perhatian untuk jangka panjang supaya diberi keutamaan untuk jalan ini kerana apabila terputusnya laluan LPT, laluan inilah jadi jalan utama sewaktu musim tengkujuh ini.

“Saya harap jalan ini diberi keutamaan untuk pembaharuan, untuk pembesaran ke atau apa yang patut. Jadi saya harap ada tindakan Majlis Daerah, untuk adakan kajian yang lebih terperinci,” titah baginda.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian selepas mendengar sembah taklimat daripada Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek berkenaan situasi banjir di kawasan Muadzam Shah di Sekolah Kebangsaan (SK) Keratong 2, di sini hari ini.

Turut berangkat, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Dato’ Shamsiah Arshad dan ADN Muadzam Shah, YB.Encik Ir. Razali Kassim

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan supaya kelengkapan dan kebersihan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dijaga bagi mengelakkan berlakunya penularan penyakit.

“Saya harap semasa dalam tempat di PPS ini, semua keperluan perlu diberi sebaik mungkin khususnya tempat tidur, selimut dan sebagainya, dan makanan diberi setiap hari. Saya tidak mahu adanya penyakit-penyakit yang lain akan timbul daripada PPS yang ada disini.

“Dalam pada itu saya harap kita perlu berhati-hati dengan wabak yang sedang melanda negara kita dan SOP (Prosedur Operasi Standard) perlu diikuti oleh semua pihak. Kita tidak boleh leka dalam soal SOP ini. Dan saya harap tidak ada kluster daripada PPS di kawasan Muadzam ini,” titah baginda.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan semua pihak supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan banjir yang berlaku kini.

Baginda telah melawat tiga PPS melibatkan 348 mangsa daripada 103 keluarga di SK Keratong 2, SK Keratong 1, dan Dewan Serbaguna Bandar Tun Abdul Razak.

Sumber: PAHANGMEDIA