Jalan Benta-Jerantut dan ke Lepar Utara Ditutup Kepada Semua Kenderaan Berat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERANTUT – Dua laluan utama di daerah Jerantut ditutup dan hanya boleh dilalui kenderaan seberat di bawah satu tan mulai hari ini.

Laluan yang ditutup itu, Jalan Benta-Jerantut berdekatan Pejabat Felcra Jaya Putra, Laluan FT64, Seksyen 35.10, ditutup kepada semua jenis kenderaan berat dalam tempoh hampir empat bulan berikutan terdapat kerosakan pada pembetung dan struktur jalan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abd Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut telah memberi notis berkaitan kerosakan jalan persekutuan itu yang terletak berdekatan kawasan Damak, Jerantut yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan di bawah satu tan sahaja.

“Akibat kerosakan tersebut, laluan itu ditutup kepada kenderaan berat mulai 24 Januari hingga 23 April ini kerana kerja membaik pulih pembetung dan kerosakan jalan akan dilakukan dalam tempoh tersebut.

“Kerosakan jalan ini berlaku berdekatan simpang masuk ke Felda Lepar Utara 9, 11 dan 12 dan pula ditutup untuk kerja membaik pulih mulai 24 Januari sehingga 5 Februari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif FT234, Jalan Sungai Jan, Jerantut – Kuala Lipis dan Jalan Kerambit – Limau Purut – Mela, manakala notis makluman dan pelan laluan alternatif sedang dikemas kini dan akan dihebahkan.

Katanya, penutupan sebelah laluan jalan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya sambil berharap pengguna jalan raya mematuhi papan tanda dan arahan yang telah disediakan atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi JKR Jerantut menerusi talian 09-2663040.

Manakala, Jalan Kota Gelanggi ke Felda Lepar Utara juga akan ditutup kepada kenderaan berat dan cuma satu laluan dibuka untuk kenderaan bawah satu tan di sebelah lorong Laluan FT1524 ekoran terdapat kerosakan pada pembentung dan struktur jalan.

“Laluan sementara akan dibuka sebagai alternatif untuk kenderaan berat bawah satu tan untuk berulang alik dari ketiga-tiga buah Felda tersebut dan kawasan berdekatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mazlan Hassan mengesahkan kerosakan di dua buah laluan tersebut dan berharap pengguna jalan raya berhari-hati dan berwaspada khususnya kenderaan ringan di bawah satu tan yang melalui kawasan tersebut.

“Anggota polis juga akan kerap membuat pemantauan di kedua laluan tersebut, manakala pihak berkenaan perlu memasang papan tanda lebih awal di kedua penghujung masuk ke laluan tersebut bagi mengelakkan kenderaan dikhuatiri terbabas ke kawasan hutan dan cerun di samping kemalangan lain,” katanya.

Sumber : AWANI