Jalan Sering Dinaiki Air Banjir Perlu Ditinggikan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH : Jalan raya dan lebuh raya yang menjadi penghubung utama antara sesuatu tempat ke tempat yang lain perlu ditinggikan agar tidak ditenggelami air serta menjadi penyebab terputus hubungan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, masalah ini sering berlaku sehingga menyebabkan bekalan makanan tidak dapat dihantar kerana terputus hubungan.

“Contohnya di Kilometer 113, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 yang memang tiap tahun banjir, kenapa kita tidak naikkan ketinggian, kerana jika jalan berkenaan terputus maka laluan dari Kuala Lumpur hingga ke Kuantan akan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi wakil Kedutaan Jepun, Encik Hosomi Masashi untuk menyampaikan bantuan kepada 24 mangsa banjir di sekitar Temerloh dan Mentakab, di Kampung Stay Desa Murni, di sini, semalam.

Beliau berkata, jika jalan yang dinaiki air ini ditinggikan kemungkinan barang makanan dapat dihantar ke kawasan yang dilanda banjir di seluruh negeri ini dengan lebih mudah dan cepat.

“Jika jalan tidak banjir, kita boleh hantar bekalan makanan walaupun banjir masih berlaku. Masalah sekarang banjir sahaja terus terputus hubungan tidak boleh pergi, kereta tidak boleh lalu dan ini akan menambah perbelanjaan,” katanya.

Sementara itu katanya, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan kaedah secara holistik dan menyeluruh untuk mengelak kawasan tertentu di Pahang daripada kerap dilanda banjir.

Beliau berkata, antara kaedah adalah memindahkan penduduk di kawasan tebing sungai ke satu lokasi lebih selamat dan jauh daripada banjir seperti yang pernah dilakukan sekitar 1970.

Sumber: PAHANGMEDIA