KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan kesedihan masyarakat antarabangsa berikutan gempa bumi melanda Turkiye dan Syria, pihak pengurusan Jambatan Angkat Kuala Terengganu mengambil inisiatif menyalakan lampu berwarna merah di jambatan itu sebagai tanda solidariti buat mangsa tragedi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn. Bhd., Khalizan Mahmud berkata, jambatan mercu tanda ikonik Terengganu itu dinyalakan berwarna merah bermula pada pukul 7 malam hingga 12 tengah malam tadi.
Menurutnya, nyalaan lampu itu akan diteruskan sehingga Ahad ini sebagai solidariti tanda kebersamaan Malaysia khususnya Terengganu terhadap mangsa tragedi yang menyayat hati di dua negara tersebut.
“Besar harapan kami agar mangsa-mangsa gempa bumi yang masih terperangkap dapat diselamatkan dan dijumpai.
“Doa kami agar semua keluarga di sana terus cekal dan bersabar dalam menghadapi dugaan ini dan semoga semua kerja mencari dan menyelamat (SAR) oleh pelbagai agensi dari seluruh dunia berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa.
Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.
Sumber: UTUSAN