Lipis: Jambatan balak yang tidak digunakan lagi di Sungai Jelai di pekan Mela, dekat sini, kini menjadi seolah-olah perangkap sampah apabila banyak kayu dan sampah tersangkut sehingga menyebabkan aliran air sungai tidak lancar.
Jambatan balak itu dibina pembalak untuk mengangkut keluar balak menyeberangi Sungai Jelai untuk dihantar ke kilang papan pada sekitar 1990-an.
Penduduk, Mohd Safri Salleh, 41, berkata sebelum ini penduduk kampung di seberang pekan Mela seperti Kampung Gemunchor, Batu Balak dan Talus turut menggunakan jambatan itu untuk urusan harian sekiranya tidak menggunakan bot.
“Namun kerajaan membina sebuah jambatan baru yang kukuh dan mula digunakan penduduk pada 2016, menyebabkan jambatan lama itu tidak digunakan.
“Berikutan itu, jambatan balak yang sebahagiannya masih kukuh kerana diperbuat daripada besi itu terbiar serta tidak digunakan,” katanya.
Menurutnya, sebelum itu, jambatan lama itu sering dilanda banjir pada musim tengkujuh dan sering rosak, namun pembalak membaiki semula struktur jambatan itu
Katanya, selepas banjir pada 2020, keseluruhan lantai kayu jambatan itu hanyut dibawa arus sungai dan hanya tinggal kerangka besi sahaja.
“Berikutan pembalak tidak lagi menggunakan jambatan itu, ia tidak lagi dibaiki jika rosak dan terus terbiar.
“Keadaan jambatan uzur dan usang itu mencacatkan pemandangan selain merbahayakan kepada penduduk kampung yang menggunakan bot di sungai.
“Ketika air surut, banyak kayu hanyut dan sampah sarap tersangkut pada tiang jambatan dan menyebabkan aliran air sungai tersekat,” katanya.
Sumber: My Metro