Jerantut: Usaha penduduk di tiga kampung yang bergotong-royong membaiki jambatan kecil Sungai Beletir di Kampung Sungai Putat, menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri, (Adun) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah untuk menghulurkan bantuan.
Sebelum ini, penduduk membaiki sendiri jambatan kecil Sungai Beletir yang rosak sejak awal tahun ini akibat banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini kerana ia digunakan orang ramai termasuk pelajar berulang-alik ke sekolah.
Penduduk menggunakan kayu hutan dan batang kelapa sebelum laluan disimen bagi memudahkan kenderaan menggunakannya tetapi ketahanan jambatan itu tidak dapat dipastikan.
Nazri berkata, hari ini beliau bersama wakil Pegawai Tentera Kem Batu 5 Mentakab ke Kampung Sungai Putat untuk jambatan yang rosak itu.
“Selepas berbincang dan mengutarakan permasalahan penduduk kepada Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, permohonan segera diluluskan bagi membina Jambatan Compact Bailey bagi menggantikan jambatan kecil Sungai Beletir dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohd Zain Awang, 50, berkata, dia gembira mendapat tahu kerajaan akan menggantikan jambatan lama itu.
“Sejak awal tahun, penduduk agak sukar ke luar dan bimbang keselamatan masing-masing sekiranya melalui jambatan yang rosak dan terdapat mendapan besar.
“Malah kami tidak yakin dengan jambatan yang dibaiki secara bergotong-royong oleh penduduk menggunakan batang kelapa dan kayu hutan dapat bertahan lama,” katanya ketika di hubungi.
Mohd Zain berkata, lebih elok jambatan Bailey disiapkan sebelum Aidilfitri kerana memberi keselesaan bagi saudara mara berkunjung ke tiga kampung di situ.
Sumber: My Metro