‘Jangan berangan ada pihak boleh selesaikan kompaun’ – Polis Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Polis Pahang menasihati orang ramai tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang dikatakan akan membantu mereka yang dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan pandemik Covid-19.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tiada pihak yang akan membantu menyelesaikan jumlah kompaun jika melanggar SOP ditetapkan.

“Jangan fikir jika kita gagal mematuhi SOP dan dikenakan kompaun, ada pihak yang sedia membantu sama ada mengurang atau membatalkan kompaun itu.

“Jadi, patuhi SOP ditetapkan bagi mengelak dikenakan kompaun,” katanya pada media selepas majlis penyerahan kenderaan pasukan di Dataran Kawad Alor Akar, di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 40 unit kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi diterima Polis Pahang iaitu tambahan dan gantian kepada kenderaan sedia ada.

Sementara itu, Abd Jalil berkata, sebanyak 12 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan terutama di pintu sempadan di negeri ini untuk menyekat berlaku kes rentas negeri.

Katanya, SJR itu membabitkan 243 pegawai dan anggota polis di seluruh Pahang dengan kerjasama Angkatan tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela).

“Lokasi tumpuan ialah di pintu sempadan iaitu di daerah Rompin, Bera, Bentong, Kuantan dan Lipis,” katanya.

Sumber: My Metro