Kuala Lumpur: Ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memberi peringatan kepada barisan pemain muda supaya tidak besar kepala atau terlalu berbangga dengan pencapaian dimiliki ketika ini.
Chong Wei berkata, perjalanan barisan pemain muda masih lagi jauh dan banyak lagi cabaran atau halangan yang perlu ditempuhi untuk berada dalam kelompok elit dunia. Beliau berkata, barisan pemain muda seharusnya lebih kental dan konsisten selain menggunakan peluang beraksi di peringkat antarabangsa untuk membina nama atau mencipta lebih banyak kejayaan.
Katanya, beraksi di pentas Piala Thomas dan Uber baru-baru ini bukanlah kemuncak kepada karier sebagai pemain badminton namun lebih kepada permulaan berhadapan dengan cabaran lebih besar pada kejohanan akan datang.
“Saya mengharapkan barisan pemain muda tidak besar kepala atau leka dengan kejayaan atau peluang diberikan oleh barisan kejurulatihan untuk beraksi di kejohanan elit.
“Percaya cakap saya perjalanan masih lagi jauh kerana banyak lagi lawan yang mereka tidak bertemu sekali gus pasti memberi pengajaran berguna kepada pemain muda.
“Sebab itu, saya katakan jangan terlalu mudah berpuas hati dengan apa yang sudah dicapai kerana banyak lagi perkara perlu belajar dan hadapi kelak,” katanya.
Untuk rekod, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menurunkan pemain muda dalam acara berpasukan Piala Sudirman, Thomas serta Uber baru-baru ini.
Skuad campuran mencipta kejutan mara ke separuh akhir Piala Sudirman, berpasukan lelaki terkandas di suku akhir Piala Thomas manakala pasukan wanita tewas di peringkat kumpulan Piala Uber.
Sumber: My Metro