“Jangan Bimbang Bantuan, Minta Kuat Semangat,” – Menteri Pertahanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH : “Jangan bimbang soal bantuan, yang saya minta sekarang kuat semangat, jaga diri, dan jaga kesihatan,” nasihat Menteri Kanan Pertahanan kepada mangsa banjir di Kem Batu 3, di sini.

Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang melawat kediaman para petugas di Kem Batu Tiga yang turut dilanda banjir berpesan demikian kepada Puan Azizah Mad Radzi yang kediamannya turut dinaiki air sehingga menenggelamkan rumahnya di tingkat bawah kuarters.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein bersama YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat keadaan Kem Batu 3 yang dilanda banjir di Temerloh hari ini.

Beliau dalam lawatannya ke Kem Batu 3 turut mengarahkan semua bantuan disalurkan secepat mungkin kepada 104 keluarga di dalam kem berkenaan.

Beliau berkata pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) juga akan mendapatkan kediaman sementara untuk disewa yang bebas banjir kepada 30 keluarga yang teruk terjejas di dalam kem ini dan pihaknya juga akan menyalurkan peruntukan tambahan sebagai langkah persediaan sekiranya kem ini dilanda bajir gelombang kedua.

Beliau dalam lawatan ini juga telah menyampaikan bantuan awal berbentuk wang tunai RM500 kepada setiap keluarga di kem ini selain membekalkan bakul makanan serta kelengkapan asas rumah seperti peti ais, mesin basuh, periuk nasi, cerek, dapur, katil, tilam, selimut, cadar, dan bantal.

Pihak MINDEF juga turut menyumbangkan RM10,000 bagi membaikpulih kerosakan Sekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) di kem ini akibat banjir.

Beliau juga berkata pihaknya akan mengumumkan bantuan tambahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), awam MINDEF, dan vateran ATM yang terjejas banjir di seluruh negara dari masa ke masa.

Beliau juga telah mengarahkan supaya operasi ATM di kawasan banjir yang masih belum surut supaya kekal berada di tahap tertinggi dan bagi kawasan yang telah surut, anggota akan ditambah bagi memastikan kerja pembersihan dapat selesai dengan cepat.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin dalam sesi taklimat dan lawatan ke Kem Batu 3 hari ini.

Sumber: PAHANGMEDIA