‘Jangan Buang Kucing di Kawasan Masjid’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Perbuatan tidak bertanggungjawab membuang kucing di kawasan Masjid Ittifaqiah Taman Seri Inderapura (MITSI), di sini, menimbulkan rasa kurang senang pihak pengurusan masjid itu.

Pengerusi MITSI, Ideris Abu Bakar, berkata pihaknya kesal dengan perbuatan segelintir individu yang menjadikan kawasan masjid tempat membuang kucing seolah-oleh ingin melepaskan tanggungjawab sebagai pemilik haiwan itu.

Beliau berkata, perbuatan membuang kucing di kawasan masjid berlaku sejak tahun lalu dan berlarutan hingga kini.

“Haiwan peliharaan itu berada dalam masjid hingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan jemaah.

“Kehadiran haiwan ini ada kalanya menyebabkan berlaku kekotoran di bahagian dalam dan luar masjid kerana najis kucing.

“Beberapa minggu lalu pihak masjid membuat pengumuman sebelum solat Jumaat mengingatkan penduduk setempat supaya tidak membuang kucing di kawasan masjid. Tidak cukup dengan itu, kita turut menyediakan kain rentang peringatan melarang membuang kucing di kawasan masjid, selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan individu tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebelum ini pernah berlaku terdapat lebih 10 kucing di masjid seolah-olah seperti mini zoo apabila banyak haiwan itu berkeliaran.

“Terdapat juga beberapa kes anak kucing mati dilanggar kenderaan jemaah masjid secara tidak sengaja.

“Saya merayu pada penduduk setempat supaya tidak terus bertindak membuang kucing dalam kawasan Masjid Ittifaqiah. Mereka perlu lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan itu,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN