Jangan Buang Kulit Oren, Jom Buat Pencuci Serbaguna Tanpa Bahan Kimia. Jimat & Wangi!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

“Sejak Aufa dah pandai merangkak ni, memang aktif menyusur atas lantai. Habis benda-benda jatuh pun semua dia nak masuk mulut. Risau pula kalau dia alah pada pencuci lantai tu.”

Memang ramai yang sensitif dengan kebanyakan agen pencuci yang terlalu ‘kuat’ terutamanya anak kecil. Kalau tak kena gaya, ada yang boleh rosakkan kulit, buat kita rasa gatal-gatal dan rasa tak selesa bila dihidu.

Ini kerana sesetengah produk pencuci komersial mengandungi bahan kimia tertentu yang mungkin tak serasi dengan kulit anda. Jika ini berlaku kepada anda atau salah seorang ahli keluarga anda, mungkin anda boleh cuba membuat sendiri pencuci serbaguna semulajadi yang bebas bahan kimia. Apa yang menarik, cara membuat pencuci DIY yang dikongsikan oleh Ummu Uwais Azizah ini sangat mudah sebab ia hanya menggunakan 2 bahan!

CARA BUAT PENCUCI SERBAGUNA HOMEMADE. TANPA BAHAN KIMIA, BAU PUN WANGI!

Pernah sesekali guna pencuci lantai untuk cuci lantai bilik air, baunya memang kuat sangat sampai buat saya terbatuk dan rasa sesak nafas. Apatah lagi sejak ada anak yang mula masuk fasa meniarap dan menyusur ni, memang cuba nak elak penggunaan pencuci komersial yang berisiko menyebabkan alahan pada kami yang jenis sensitif.

Sudahnya kadang-kadang mop lantai pun guna air je. Rupanya ada cara mudah nak buat pencuci serbaguna yang mesra alam dan bebas bahan kimia. Mudah sangat guna 2 bahan saja iaitu cuka dan kulit oren. Yang pasti, baunya pun wangi sangat macamessential oil. Boleh release stress tau!

Di sini saya kongsikan bahan-bahan dan cara membuatnya.

BAHAN-BAHAN

  • Cuka putih / cuka buatan
  • Kulit oren / lemon

Contoh cuka buatan

CARA-CARA

1. PARUT KULIT OREN / LEMON

Gunting kulit oren atau lemon kecil-kecil supaya aromanya dapat dikeluarkan.

Masukkan siap-siap ke dalam sebuah bekas kedap udara atau botol spray.

2. TAMBAHKAN CUKA

Tambah cuka putih tadi sampai penuh bekas atau sehingga menutupi semua kulit oren atau lemon. Pastikan semua kulit oren terendam dengan sempurna tau sebab kulit oren yang tak terendam penuh akan berkulat dan berbau tak wangi.

Tutup bekas spray tadi.

3. PERAM

Seterusnya, biarkan ia diperam selama seminggu dua sebelum digunakan.

4. CARA GUNA

i) Untuk cuci ‘table top’ dapur:

Lembapkan kain dengan air, spraykan sedikit larutan pencuci homemade ini. Boleh buat sapuan di dapur tanpa bilas.

Jika nak jadikan pencuci lebih berkesan terutama kesan minyak, campurkan larutan cuka sitrus ini dengan sesudu dua soda bikarbonat. Tapi yang ini kena bilas semula dengan air.

ii)  Untuk cuci lantai

Lembapkan kain mop atau apa-apa kain untuk lap lantai. Tambah sedikit larutan cuka sitrus ini atau spraykan terus ke lantai. Wangi je bau lantai nanti. Macam bau oren segar!

Tak perlu tambah soda dan tak perlu bilas pun tak apa. Kecuali kalau lantai terlalu kotor boleh tambah soda bikarbonat dan bilaskan dengan air.

BERKESAN & SELAMAT!

Selagi kulit oren terendam penuh atau tak terdedah udara, pencuci serbaguna ini boleh tahan selama sebulan atau mungkin lebih.

Jika larutan cuka dah habis, boleh tambah cuka baru hingga penuh menutupi kulit oren.

Selain kulit oren atau lemon, boleh juga guna kulit limau nipis, limau purut atau apa saja jenis buah-buahan sitrus yang ada di rumah. Mudah kan?

Selamat mencuba.

Sumber : Sirap Limau