KUALA TERENGGANU – Susulan pengumuman Perdana Menteri berkenaan pelaksanaan ‘total lockdown’ di seluruh negara, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik kerana bekalan barang keperluan dijamin mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, barangan harian masih boleh dibeli di kedai runcit terpilih dan pasar raya semasa ‘lockdown’ dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.
“Sehubungan dengan penularan gambar orang ramai berpusu-pusu membeli barangan di beberapa pasar raya besar di sekitar Kuala Terengganu, saya nasihat elaklah pembelian panik kerana kuantiti barang keperluan harian tetap boleh dibeli dan mencukupi.
“Jika berlaku, ia akan menimbulkan keadaan yang sesak dan kerisauan terhadap kemungkinan penyebaran wabak COVID-19 adalah tinggi, terutamanya pada masa kini.
“Oleh itu, kurangkan bersesak-sesak dan patuhi (SOP) kerana situasi stok barangan masih terkawal,” jelasnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim turut menyuarakan peringatan sama.
“Ini adalah bahaya kepada diri sendiri, orang ramai bila terlalu ramai berada berdekatan antara satu sama lain dengan kemungkinan penularan virus boleh berlaku.
“Saya mohon supaya rancang dengan baik keperluan kita. Pilih kedai yang tak terlalu sesak serta hindar daripada membeli pada kuantiti berlebihan,” katanya menerusi laman rasminya di Facebook, hari ini.
Hari ini tular gambar orang ramai bersesak-sesak di beberapa pasar raya di negeri ini.
Sumber: TRDI News