KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Kelantan meminta masyarakat setempat agar tidak sesekali mencemuh pesakit Covid-19 mahupun individu yang pernah dirawat berkait wabak terbabit.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dalam keadaan sekarang kumpulan tersebut sepatutnya diberikan sokongan untuk lebih tabah menghadapi keadaan semasa.
“Kita mengharap supaya masyarakat tidak menstigmakan mereka, jangkitan Covid-19 ini benda yang tidak nampak. Jadi kita tidak perlulah mencemuh mereka. Kita sepatutnya beri sokongan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Terdahulu beliau menerima sumbangan peralatan daripada Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Sukarelawan Yadim Kelantan, Gabungan NGO Hadapan Kelantan (Gohek) dan Misi Kembara Dakwah sempena Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 Siri Dua di sini.
Hadir sama, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.
Dalam pada itu, Dr Zaini turut memaklumkan sekiranya pesakit yang discaj mengalami gejala baharu, individu berkenaan boleh mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital atau klinik-klinik.
Mengulas mengenai keperluan untuk menambah PKRC di Kelantan, Dr Zaini berkata, ia bergantung kepada trend semasa kes di negeri ini.
“Kita lihat trend semasa pada hari ini berkurangan, kemungkinan kita tidak buka PKRC yang baharu tetapi sekiranya keadaan memerlukan kita telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai.
“Jadi kita berharap supaya trend jangkitan ini terus menurun dan saya nasihatkan masyarakat agar terus mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan untuk putuskan penularan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini terdapat 43 pesakit ditempatkan di PKRC Jubli Perak, 27 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, 55 di Kolej Jururawat dan 48 di Dewan Sivik, Gua Musang.
Katanya, keseluruhan kes Covid-19 di Kelantan sehingga Selasa adalah 3,003 dengan 2,031 kes sembuh manakala 961 dalam rawatan dan 11 kematian direkodkan.
Sumber: Sinar Harian