Jangan Jatuhkan Martabat Wanita

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Baru-baru ini telah tular satu video di media sosial mengenai pasangan pengantin baharu yang menjalankan upacara ‘unboxing isteri‘. Istilah ‘unboxing isteri‘ yang dimaksudkan adalah pihak suami menanggalkan aksesori perhiasan daripada pakaian isterinya.

Paparan video tersebut telah mengundang kecaman pelbagai pihak kerana perbuatan tersebut telah menimbulkan tafsiran yang tidak baik.

Unboxing bercanggah dalam Islam

Upacara ‘unboxing isteri’ secara zahirnya dilihat bercanggah dengan prinsip Islam. Rasulullah SAW memerintahkan suami supaya sentiasa menjaga kehormatan isteri. Suami tidak seharusnya menjadikan isteri mereka objek perhiasan untuk tatapan umum. Rasulullah sendiri sangat menjaga isteri baginda meskipun di hadapan seorang lelaki buta.

Al-Quran memerintahkan suami menjaga isteri

Manakala dalam al-Quran pula, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka dan memelihara dari disakiti.

Firman Allah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan yang ditampilkan oleh al-Quran ini menggambarkan bahawa suami dan isteri itu perlu saling menutup keaiban masing-masing dan memelihara air muka masing-masing.

Suami dilarang mendedahkan isu dalaman

Lebih membimbangkan jika video tersebut mendedahkan aurat suami atau isteri. Dalam sebuah hadis, Rasulullah mengecam suami yang mendedahkan perlakuan sulit yang berlaku di bilik tidur mereka. Biarlah ia menjadi rahsia sesama mereka dan bukannya dijadikan tatapan kepada khalayak umum.

Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangannya.

Istilah unboxing menjatuhkan martabat wanita

Istilah unboxing itu dikatakan menjatuhkan martabat wanita yang diumpamakan seperti barang dagangan yang sampai ke rumah dan perlu dinyahkotakkan (unboxing). Malah apa pula perasaan keluarga sebelah perempuan apabila melihat anak perempuan mereka yang baru sahaja berkahwin diperlakukan sedemikian rupa.

Perkara ini perlu difikirkan oleh pasangan muda sebelum mereka berkongsi sesuatu dalam media sosial.

Fitnah media sosial

Barangkali ini adalah sebahagian daripada fitnah di media sosial. Tidak salah untuk berkongsi kegembiraan perkahwinan dan sebagainya. Namun setiap Muslim perlu berhati-hati dalam memuat naik gambar atau video paparan peribadi kerana ia dikhuatiri mengundang kemurkaan Ilahi.

Sumber: HARIAN METRO