Jangan Lupus Al-Quran Sendiri – KDN

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Umat Islam di negeri ini dinasihatkan tidak melakukan sendiri proses pelupusan al-Quran lama kerana dikhuatiri dilakukan dengan cara tidak betul.

Ini berikutan terdapat segelintir pihak menghantar abu al-Quran yang sudah dilupuskan sendiri ke Program Jom Exchange Al-Quran yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pahang di Masjid As Syarif, Taman Tas, dekat sini, hari ini.

Pengarah KDN Pahang, Syolahuddin Noor Azmi berkata, ia kali pertama pihaknya menerima abu al-Quran sejak program terbabit dilaksanakan bermula April lalu.

“Jadi kami ingin menasihati orang ramai supaya tidak melupuskan sendiri al-Quran sebaliknya menghantar naskah yang rosak dan lama kepada pihak bertauliah untuk dilupuskan mengikut cara yang betul,” katanya ketika ditemui pada program terbabit.

Mengenai program berkenaan, Syolahuddin berkata, setakat ini pihaknya sudah berjaya mengumpul kira-kira 6,000 naskah al-Quran lama dan rosak serta tidak mempunyai perakuan KDN.

Jelasnya, program berkenaan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai supaya dapat menggunakan naskah al-Quran yang diluluskan Kementerian itu.

“Selain dapat membantu masyarakat melupuskan al-Quran yang rosak dengan cara yang betul, dalam masa sama dapat memberikan maklumat berkaitan peranan dimainkan KDN, terutamanya dalam memastikan setiap naskah al-Quran digunakan adalah mematuhi peraturan ditetapkan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid As Syarif, Saad Badrul berkata, pihaknya mencadangkan supaya pihak KDN dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran lama dan rosak di masjid untuk memudahkan orang ramai.

“Kalau boleh kita sediakan tempat untuk menyimpan al-Quran yang dihantar orang ramai di masjid ini dan pihak berwajib boleh datang mengambilnya mungkin sebulan sekali,” katanya.

Sumber: METRO