Jangan mansuh cuti tahunan petugas barisan hadapan yang tidak dihabiskan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menggesa kerajaan supaya tidak memansuhkan cuti tahunan 180,000 petugas barisan hadapan yang memberikan perkhidmatan penuh ketika pandemik Covid-19.

Presidennya Adnan Mat berkata sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac tahun lalu, cuti tahunan ini didapati tidak dapat dihabiskan dalam usaha mereka memastikan masyarakat mendapat imunisasi dengan cepat.

“Cuepacs mendapati ada cuti yang dibekukan tidak dapat dihabiskan, jadi kita mohon kerajaan supaya memberi pertimbangan cuti yang tidak dihabiskan semasa berhadapan pandemik.

“Kami memohon pertimbangan pihak kerajaan supaya cuti ini tidak dilupuskan dalam tempoh tiga tahun kepada lima tahun, malah hendaklah dipanjangkan pada masa tertentu sehinggalah mereka mampu mengambil cuti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Presiden Cuepacs Malaysia ke pusat pemberian vaksin (PPV) Awam Kota Bharu Dewan Sri Tunjong Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membabitkan 1,030 penerima, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan turut mencadangkan supaya pembayaran dibuat ke atas jumlah yang tidak dihabiskan sebagaimana pelaksanaan yang dibuat negara jiran, Singapura.

“Kami turut memohon supaya baki cuti ini dimasukkan dalam gantian cuti rehat selama 15 hari sebagaimana amalan biasa yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan turut memohon kerajaan melalui Kementerian Kewangan supaya Belanjawan 2022 yang dijadual untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober depan, mengambil kira kewujudan Sistem Saraan Baru bagi mempertingkatkan sistem sedia ada.

“Sistem persaraan ini wujud setiap 10 tahun sekali, justeru amat penting bagi kerajaan menyediakan sejumlah bajet untuk memenuhi tuntutan kepada kakitangan awam dan memenuhi komponen dalam sistem persaraan baharu.

“Sudah pasti sistem persaraan baharu ini juga hendaklah melangkaui gaji minimum supaya dapat melepasi garis kemiskinan,” katanya.

Sumber: My Metro