Jangkitan varian Beta menular di Tumpat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) tidak menolak kemungkinan jangkitan Covid-19 di Kampung Kutan Tengah dekat Tumpat disebabkan penularan varian Beta.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ini kerana varian Beta sudah ada dalam komuniti di negeri ini.

“Kemungkinan jangkitan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu juga disebabkan varian Beta. Kita sudah membuat ujian saringan kepada semua penduduk di lokasi itu seramai 1,616 individu dan 110 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan tiada kematian direkodkan.

“Kita juga akan membuat ujian saringan kali kedua di kawasan itu bagi memastikan penduduk bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Outreach Vaksinasi Kakitangan dan Ahli Keluarga di Dewan Tan Sri Murad Ahmad di Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penjara Kelantan Mat Yaacob dan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Wan Sani Ab Latiff.

Media sebelum ini melaporkan, Kampung Kutan Tengah dilaksanakan PKPD selama dua minggu bermula 11 hingga 24 Jun ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, sampel ujian calitan dari lokasi itu sudah diambil untuk dibuat kajian selanjutnya.

Beliau berkata, beberapa lokasi dikesan dijangkiti varian Beta termasuk di sebuah kilang di Pengkalan Chepa.

“Jangkitan disebabkan varian Beta sangat cepat dan bilangan kematian juga meningkat apabila mencatatkan kematian antara empat hingga enam kes sehari dalam tempoh lebih sebulan lalu.

“Berbanding tahun lalu hanya tujuh kematian yang dicatatkan di negeri ini dan kumulatif kematian adalah 182 kes,” katanya.

Pada perkembangan lain beliau berkata, pendaftaran vaksin dalam kalangan penduduk di negeri ini sudah meningkat iaitu sebanyak 47 peratus daripada jumlah penduduk.

“Dua kaedah yang digunakan penduduk ini iaitu menerusi aplikasi MySejahtera dan berdaftar secara manual dengan pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan penggawa,” katanya.

Sumber: My Metro