Jangkitan Varian Delta Di Kelantan Membimbangkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Jangkitan kes varian Delta di Kelantan membimbangkan apabila sebanyak 60 kes direkodkan dalam masa sembilan hari bermula 26 Disember lalu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes berkenaan dikesan hasil daripada kajian berterusan yang dijalankan oleh makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, jumlah keseluruhan kes varian Delta yang dicatatkan di Kelantan adalah sebanyak 170 kes setakat ini.

“Penularan varian Delta yang tinggi dalam masa sembilan hari itu amat merisaukan memandangkan varian berkenaan berbahaya dan cepat merebak.

“Varian itu sudah lama berada dalam masyarakat kita dan jangkitannya terlalu cepat jika individu yang disahkan positif tidak mengambil langkah untuk kuarantin diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, sebanyak 27 kes jangkitan varian Beta yang dikesan di negeri Kelantan sehingga semalam.

Katanya, jumlah keseluruhan jangkitan kes varian Delta dan Beta adalah sebanyak 197 kes. Setakat ini tiada kes yang dilaporkan membabitkan varian Omicron.

“Namun, semua penduduk diminta supaya sentiasa berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan varian baharu ini masuk ke negeri ini.

“Walaupun negeri ini sudah masuk ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa menjaga diri dan tidak terlalu selesa.

“Jangkitan kes Covid-19 masih lagi tinggi. Fasa Empat bukan satu tiket untuk kita bebas ke mana-mana sahaja dengan tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO