KUALA LUMPUR – Bekas pesakit COVID-19 yang sudah terima rawatan, akan diberi janji temu sejurus discaj dari hospital, terutama bagi mereka yang ada komplikasi tertentu atau dijangka mengalami gejala Long COVID.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata janji temu untuk rawatan susulan itu diberikan, termasuk di klinik pakar yang bersesuaian, bergantung pada diagnosis akhir mereka.
Bagi bekas pesakit yang turut menghidap penyakit kronik atau komorbid seperti darah tinggi dan diabetes, beliau berkata, mereka akan diminta untuk meneruskan rawatan susulan di fasiliti kesihatan seperti dijadualkan sebelum dijangkiti COVID-19.
“Sekiranya mereka tidak mempunyai rawatan susulan biasa, mereka akan dirujuk kepada pakar tertentu dan diberikan janji temu.
“Bekas pesakit COVID-19 juga boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam atau swasta yang berhampiran secara ‘walk-in’ jika ada sebarang gejala.
“Bagi bekas pesakit yang mengalami gejala semakin teruk ketika dalam tempoh pemantauan dan memerlukan rawatan segera, mereka akan dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Noor Azmi berkata, setakat November lalu, seramai 19,890 bekas pesakit COVID yang discaj dari hospital, telah diberi janji temu dan hadir untuk mendapatkan rawatan susulan di fasiliti kesihatan.
Berdasarkan pemantauan, beliau berkata, terdapat lima gejala utama yang sering dialami pesakit ‘Long COVID’, iaitu kelesuan (78.9 peratus), sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (52.9 peratus), batuk (18.1 peratus); kesukaran tidur (14.5 peratus), dan keresahan (10.4 peratus).
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau dan memberi rawatan kepada pesakit Long COVID yang mempunyai indikasi, berdasarkan Garis Panduan Pengurusan COVID-19, serta memastikan akses perubatan mencukupi kepada golongan ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pula, Dr Noor Azmi berkata, terdapat 41 fasiliti perubatan rehabilitasi di seluruh negara yang memberi perkhidmatan kepada pesakit Long COVID, meliputi hospital awam dan swasta, hospital universiti serta sebuah pusat rehabilitasi bawah Kementerian Sumber Manusia.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa KKM akan memberi vaksin kepada kanak-kanak, tidak lama lagi, namun perinciannya tidak dijelaskan.
Sementara itu, menjawab soalan berasingan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) pula, Dr Noor Azmi berkata, sasaran nisbah doktor kepada penduduk di negara ini bagi tahun depan ialah 1:425.
“Nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia pada 2020 ialah 1:441. Bagi 2025 pula, nisbah doktor kepada penduduk yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ialah 1:400,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), beliau menjelaskan, KKM telah menambah slot pengajian kepakaran di hospital bagi meningkatkan jumlah doktor pakar di negara ini.
“Kita sudah menambah peluang ‘Parallel Pathway’ dan mahu tambahkan lagi. Kita terus berusaha menarik doktor yang berada di luar untuk kembali ke negara ini.
“Selain itu, kita juga memberi pelbagai insentif kepada doktor pakar (dalam negara) supaya mereka tetap setia dan memberi perkhidmatan terbaik untuk negara,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN