Kota Bharu: Suami isteri berdepan detik cemas apabila dua jari kaki kiri anak perempuannya tersepit pada eskalator.
Kejadian berlaku di sebuah pasar raya di sini pada 12.30 tengah hari semalam membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian berlaku apabila tiga beranak itu dari aras bawah, menaiki eskalator untuk ke tingkat satu.
“Secara tiba-tiba, kaki kiri mangsa tersepit pada eskalator, menyebabkan berlaku kecederaan pada jari kaki kirinya.
“Mangsa dibantu beberapa pengunjung yang kebetulan berada di lokasi untuk mengeluarkan bahagian jari yang tersepit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Suhaimi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana cedera di jari kelingking serta tengah.
Dalam video berdurasi 24 saat yang tular sejak semalam, memaparkan kejadian seorang kanak-kanak perempuan tersepit kaki pada eskalator.
Dia dibantu beberapa pengunjung sebelum didukung ibunya sebaik bahagian kaki yang terlekat itu berjaya dikeluarkan.
SUmber: My Metro