KUANTAN : Jaringan Keselamatan berkaitan industri agro seharusnya diwujudkan di negara ini bagi memastikan petani dan pembekal makanan terjamin sekiranya berlaku musibah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, ini merupakan satu bentuk perlindungan kepada para pemain agro.
“Contoh bagi penternak lembu, ternakannya menghadapi LSD (penyakit kulit kental), dan kita terpaksa lupus. Perkara ini diluar daripada kawalan kita, dan bila terpaksa hapus, penternak akan mengalami kerugian yang besar tapi tak ada sebarang bantuan besar yang dapat menjamin para pengusaha.
“Perkara ini akan menakutkan para pengusaha kerana kerugian yang dialami besar tapi tak ada sebarang jalan, yang besar, yang setimpal kerugian untuk membantu ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Penyerahan Bantuan Input Perikanan dan Penyerahan Lesen Sampan Khas Perikanan Negeri Pahang 2021 di Hotel Grand Darul Makmur.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Encik Abdullah Jaafar.
Beliau berkata, ini akan menyebabkan orang ramai takut untuk menceburi bidang agro di negara ini dan ia juga secara tidak langsung akan memberi kesan kepada bekalan makanan dalam jangka masa panjang.
“Bila pemain-pemain agro takut untuk melabur dan fikir baik mereka labur dalam industri lain, jadi kita akan hadapi masalah kekurangan bekalan makanan.
“Kita akan terpaksa import makanan kita dari negara luar, itu pun kalau mereka (negara lain) bermurah hati nak bagi,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA