Kuala Lumpur: Pekerja penyelenggaraan penghawa dingin cedera selepas terjatuh dari tingkat 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ketika sedang melakukan kerjanya hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, anggota bertugas kaunter pertanyaan Balai Polis Dang Wangi ketika sedang bertugas terdengar bunyi dentuman dari arah luar lobi IPD Dang Wangi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang individu terbaring di atas lantai di luar lobi IPD Dang Wangi dengan mengalami kecederaan pada tubuh badannya.
“Lelaki terbabit terjatuh ketika melakukan penyelenggaraan penghawa dingin di tingkat 10 bangunan IPD Dang Wangi.
“Pihak polis Dang Wangi kemudian menghubungi ambulans untuk menghantar mangsa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal berkata, orang ramai dimohon supaya tidak menularkan sebarang gambar atau video berkaitan kejadian ini yang boleh mendatangkan kegusaran awam.
Sumber: My Metro