JDT Nyalakan Harapan Untuk Pahat Sejarah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) menyalakan misi untuk melakar sejarah mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama selepas menumpaskan Guangzhou FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan bimbingan Benjamin Mora kembali merampas kedudukan pendahulu, berkongsi 10 mata dengan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC, namun dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Itu bermakna, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Sabtu ini mampu menjadi penentu nasib JDT untuk memburu slot ke pusingan kedua.

Pada perlawanan itu, menyaksikan Bergson Da Silva, Leandro Velazquez

dan Arif Aiman Hanapi kembali dibariskan Harimau Selatan manakala Fernando Forestieri, Mathew Davies, Shane Lowry dan Corbin Ong direhatkan.

Biarpun JDT menguasai permainan, namun kelab itu tidak menemui jalan untuk meruntuhkan benteng pertahanan skuad kendalian Pan Yong He.

Walaupun dibarisi pemain skuad kedua sahaja, Guangzhou dilihat berjaya merantai pasukan tuan rumah yang bergelut untuk mendapatkan gol awal pada perlawanan itu di hadapan 10,352 penonton.

JDT hanya memperoleh peluang keemasan untuk mencipta jaringan setelah Bergson dijatuhkan pemain lawan ketika cuba menyambut sepakan sudut yang diambil Nazmi Faiz Mansor.

Penyerang kelahiran Brazil itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti biarpun penjaga gawang, Zhang Ji Hao melayangkan badan ke arah yang tepat pada minit ke-16.

JDT yang melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu lawan bagi menambah jaringan menemui jalan buntu, tandukan Shahrul Saad pada minit ke-63 berpunca sepakan sudut tidak menemui sasaran.

Pertukaran demi pertukaran yang dilakukan Mora juga dengan membawa masuk Mohamadou Sumareh, Ramadhan Saifullah dan Safiq Rahim juga tidak membuah hasil apabila tidak pertambahan jaringan direkodkan.

Bagaimanapun, ketika perlawanan berada di masa tambahan, Bergson sekali lagi mencetak jaringan kedua juga menerusi tendangan penalti pada minit ke-96.

Dalam perlawanan terdahulu, Ulsan l menewaskan kelab gergasi Jepun, Kawasaki Frontale 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dekat sini.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian Toru Oniki jatuh ke tempat ketiga dengan lapan mata menerusi lima perlawanan, tiga mata di belakang Ulsan Hyundai dan JDT. 

Sumber: UTUSAN ONLINE