BENTONG : Pertemuan antara pemimpin dan rakyat secara lebih dekat pada setiap minggu mampu mengeratkan lagi hubungan antara kepimpinan negeri dengan masyarakat di negeri ini.
Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Ahmad Nadzer berkata, ia bakal direalisasikan melalui program Jelajah #KitaBersama yang akan diadakan setiap minggu selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang berlangsung pada setiap hari Rabu.
“Kita bawakan jelajah ini untuk pastikan ia dapat dijiwai dan orang ramai akan rasa teruja dapat bertemu secara langsung dengan YAB Menteri Besar Pahang dan barisan Exco.
“Ia juga menjadi kesempatan terbaik kepada YAB Menteri Besar serta semua Exco untuk turun padang melihat sebarang masalah, isu serta kejayaan yang telah dicapai terutamanya sepanjang YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerajui kepimpinan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penyelarasan Lawatan Kerja YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Majlis Perbandaran Bentong, hari ini.
Sementara itu beliau berkata jelajah berkenaan akan bermula pada November ini dan dijangka akan berterusan sehingga ke destinasi akhir iaitu Daerah Rompin pada Mac tahun depan.
“Dalam jelajah ini juga kita akan lihat kolaborasi antara pentadbiran daerah yang diketuai Pegawai Daerah dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.
“Mereka yang terlibat ini akan bergabung tenaga dan idea untuk memastikan jelajah ini dapat dijayakan dan sudah pasti mereka boleh dikatakan sebagai tulang belakang program ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar masyarakat mengambil kesempatan untuk menzahirkan sebarang idea serta apa sahaja isu penting berkaitan kepentingan rakyat.
“Ini juga adalah peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan Menteri Besar serta para Exco yang memegang portfolio masing-masing dalam menjaga kepentingan rakyat dari setiap segi,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA