Jemaah Indonesia dan pakistan mula melaksanakan Ibadah Umrah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Foto Saudi Gazette

Kini Umat Islam di seluruh dunia berusia antara 18 hingga 50 tahun akan dibenarkan mengerjakan umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar Arab Saudi dibuka pada 1 November. Kumpulan pertama jemaah Umrah luar negara yang hadir ialah dari Indonesia dan Pakistan. Ketibaan mereka disambut oleh Pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz (KAIA). Mereka merupakan Jemaah yang pertama hadir setelah Ibadah Umrah dihentikan sementara akibat wabak korona.

Dalam usaha mencegah jangkitan COVID-19, antara arahan yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah adalah jemaah perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sewaktu ketibaan di negara itu.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan, jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas COVID-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.

Selain itu, Jemaah juga perlu mendapat kebenaran untuk melakukan umrah selain lawatan ke dua Masjid Suci dan melakukan solat di Rawdah Sharif dengan mendaftar di aplikasi Eatmarna.

Setiap jemaah perlu mendapatkan tempahan penerbangan pulang selari dengan program yang diluluskan.

Peraturan itu termasuklah tempahan bagi tempat penginapan yang komprehensif yang turut membabitkan sekurang-kurangnya tiga kali hidangan sehari sepanjang tempoh tiga hari kuarantin.

Syarikat umrah perlu mengesahkan segala maklumat tepat berdasarkan pasport jemaah termasuklah tarikh lahir yang masuk ke dalam sistem umrah, sekurang-kurangnya 34 jam sebelum hari ketibaan.

Melalui sistem itu, data tiket penerbangan juga perlu ada dalam sistem, termasuk nombor tiket, nombor ketibaan pesawat, negara berlepas, masa dan tarikh pelepasan, negara ketibaan, masa dan tarikh tiba serta maklumat penerbangan lain.

Selain itu, maklumat penginapan di Makkah dan Madinah perlu dilengkapkan juga.

Ejen umrah asing yang bekerjasama dengan syarikat di Arab Saudi juga bertanggungjawab untuk melengkapkan data ini malah berdepan dengan tindakan sekiranya terdapat maklumat tidak benar.

Pihak Kementerian Haji & Umrah menyatakan, jemaah perlu dibahagikan kepada kumpulan dengan minimum seramai 50 jemaah dalam satu kumpulan dan syarikat umrah perlu melantik seorang ketua untuk mengawal setiap kumpulan berkenaan.Pihak Kementerian turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar serta pihak berkuasa lain yang berkaitan dalam menentukan negara mana yang boleh menghantar jemaah dan kuota jemaah.

Ia sejajar dengan klasifikasi dari segi pematuhan terhadap langkah-langkah pencegahan dan keperluan untuk negara masing-masing. Kementerian juga memberikan akreditasi kepada penyedia perkhidmatan yang berkelayakan seperti hotel dan syarikat pengangkutan sesuai dengan kawalan fasa yang luar biasa ini dan keperluan pencegahan dan protokol kesihatan.

Kementerian mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk mempamerkan perkhidmatan mereka melalui platform pemasaran elektronik yang diluluskan dalam sistem tempahan pusat dan perakuan elektronik Saudi oleh Kementerian Luar serta Kementerian Haji dan Umrah untuk kontrak yang disepakati antara ejen asing dan penyedia perkhidmatan umrah.

Sumber – Berita Harian , Saudi gazette