Jenayah Komersial Meningkat Ketika PKP

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR SETAR – Kes penipuan membabitkan jenayah komersial di negeri ini meningkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021 menyebabkan kerugian lebih RM11 juta.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, berlaku peningkatan kes terutama membabitkan jenayah penipuan iaitu sebanyak 1,881 kes pada 2021 berbanding 1,125 kes pada 2020.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 90 peratus adalah kes penipuan membabitkan jenayah penipuan seperti 397 kes melibatkan Macau Scam, 98 kes melibatkan Love Scam, 297 kes melibatkan pinjaman wang tidak wujud, 214 kes melibatkan pelaburan tidak wujud dan 593 kes melibatkan penipuan belian dalam talian.

“Kejadian banyak berlaku ketika PKP yang mana kebanyakan individu berada di rumah. Ketika itu, banyak sindiket penipuan ini merancang serta mencari taktik untuk mengaut wang daripada mangsa.

“Jumlah kerugian disebabkan jenayah kes komersial juga meningkat sebanyak RM11,079.937.52 iaitu kerugian sebanyak RM28,899,760.03 pada 2021 berbanding sebanyak RM17,819,822.51 pada 2020.

“Ia membabitkan kerugian berjumlah RM28 juta pada 2021 berbanding 17 juta pada tahun sebelumnya. Peningkatan kes penipuan adalah disebabkan perubahan trend jenayah daripada jenayah bersemuka dengan secara maya disebabkan oleh PKP,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sebanyak 657 kes berjaya dituduh iaitu hampir 34.92 peratus bagi pertuduhan jenayah komersial pada tahun ini.

Beliau berkata, turut berlaku peningkatan jenayah kekerasan sebanyak 10.95 peratus, 11.4 peratus bagi jenayah harta benda dan 28.5 peratus bagi jenayah narkotik.

“Kemalangan jalan raya pula turun enam peratus iaitu 18,327 kes pada 2021 berbanding 19,490 kes pada 2020,” katanya.

Katanya, keseluruhan indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan 7.5 peratus iaitu 3,822 kes pada tahun lalu berbanding 4,133 kes, pada 2020.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM10.9 juta telah diperoleh oleh pihaknya melalui kutipan saman sempena tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik sehingga 80 peratus bermula dari 9 hingga 29 Disember tahun lalu.

Sumber: HARIAN METRO