Jenayah Seksual: 304 Kes Dilaporkan di Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MACHANG – Sebanyak 304 kes jenayah seksual dilaporkan di Kelantan sejak 2021 sehingga Mei lalu dengan kebanyakan mangsa berusia di bawah 18 tahun.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kes itu membabitkan kes cabul, rogol, sumbang mahram dan seks luar tabii.

Beliau berkata, sebanyak 228 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu, manakala 76 kes dilaporkan sehingga Mei lalu.

“Sebenarnya statistik ini hanya angka untuk panduan kerana kes terbabit berdasarkan laporan yang diterima. Mungkin ramai lagi yang tidak tampil membuat laporan polis.”

“Bagaimanapun, kes jenayah seksual ini dianggap serius dan menjadi kebimbangan memandangkan kebanyakan mangsa berusia bawah 18 tahun dan semestinya masih tidak matang.”

“Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan dan pihak polis juga perlu menggunakan pelbagai kaedah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat. Sebagai contoh, polis turun ke sekolah memberi taklimat di masjid supaya mesej yang disalurkan itu sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, kecewa dengan keluarga dan diri sendiri antara penyumbang kepada kes jenayah seksual.

“Untuk menangani masalah itu, keluarga perlu memainkan peranan penting supaya kumpulan remaja ini tidak berasa mereka keseorangan sekali gus dapat mengelak dari terjebak dalam jenayah berkenaan.”

“Pada masa sama, sekolah juga perlu memainkan peranan supaya dapat mengenal pasti pelajar yang bermasalah,” tambah beliau.

Sumber: BERITA HARIAN