BERLIN – Jerman sedar dengan kualiti dimiliki Hungary menjelang pertemuan Liga Negara-Negara UEFA antara mereka di Leipzig esok.
Selepas terikat 1-1 di Budapest sebelum ini, Jerman kini berada di tangga kedua Kumpulan A3 di belakang Hungary.
Lebih malang lagi buat skuad kendalian Hansi Flick apabila terpaksa melayan kunjungan Hungary tanpa empat tonggak, termasuk kapten Manuel Neuer, penyerang Marco Reus, pemain tengah Leon Goretzka dan Julian Brandt.
Kapten Dortmund, Reus cedera di bahagian buku lali ketika kelabnya menang 1-0 ke atas Schalke Ahad lalu, manakala Neuer dan Goretzka dijangkiti COVID-19 dan Brandt mengalami selesema.
Pemain tengah Borussia Moenchengladbach, Jonas Hoffmann, yang menjaringkan gol Jerman ketika seri di Budapest, berkata pasukannya perlu bersiap lebih rapi menentang lawan yang lebih agresif dan tersusun itu.
“Hungary adalah pasukan yang mempunyai kekuatan luar biasa, mengharungi 90 minit permainan dan masa kecederaan dengan mengikut perancangan awal mereka.
“Kami tidak mempunyai banyak peluang di sana (Budapest). Kami perlu berhati-hati dan konsisten di Leipzig pada Jumaat untuk mendapatkan gol secepat mungkin,” kata Hoffmann.
Sementara itu, Flick berharap penyerangnya Timo Werner, yang bermain di halaman sendiri di Leipzig, akan menterjemahkan peluang kepada gol.
“Dia sentiasa mencipta peluang di hadapan gawang. Dia mahir melepaskan diri. Menajamkan penyudahnya menjelang Piala Dunia amat baik untuk dirinya dan pasukan,” kata Flick.
Werner, yang meledak dua gol dalam kemenangan 3-1 Jerman ke atas Ukraine di Leipzig pada tahun 2020, hanya menjaringkan satu gol dalam enam perlawanan sejak kembali ke RB Leipzig dari Chelsea pada Ogos.
Hungary kini mendahului kumpulan dengan tujuh mata selepas empat perlawanan, manakala Jerman di tangga kedua pada enam mata.
England, yang akan bertemu Jerman pada Isnin, di tangga tercorot dengan dua seri dan dua kekalahan setakat ini.
Sumber : BERITA HARIAN