Jika Kamu Melihat Seseorang Yang Terlalu Suka Memuji Maka Lemparkanlah Pasir di Hadapan Muka Mereka

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Hukum memuji terhadap seseorang yang sebenarnya adalah harus. Ini seperti mana dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Baginda pernah ditanya bagaimana menurut Baginda tentang seseorang yang melakukan kebaikan lalu orang-orang pun memujinya? Baginda menjawab: Itulah khabar gembira yang disegerakan bagi seorang mukmin.” (Hadis Riwayat Muslim 4780)

Jadi, tidak salah untuk seseorang memuji orang lain terhadap kebaikan yang dilakukan supaya orang yang melakukan kebaikan itu akan terus melakukannya tetapi ia perlu diingati bahawa ada kalanya pujian tersebut boleh menjadi seperti racun yang membunuh.

Larangan memuji secara berlebihan ini terdapat padanya beberapa hikmah. Imam al-Ghazali Rahimahullah menyebutkan bahawa terdapat enam kerosakan yang akan masuk ke dalam pujian terhadap seseorang. Empat keburukan itu kepada orang yang memuji, manakala dua lagi kepada orang yang dipuji.

Kepada Orang Yang Memuji

1. Memuji dengan melampau

2. Memuji sehingga boleh merosakkan seseorang

3. Memuji dengan perkara yang bohong

4. Memuji orang yang kita tidak kenali

Kepada Orang Yang Dipuji

1. Boleh menyebabkan seseorang itu riak

2. Seseorang akan merasa gembira dan merasa cukup hebat dan berpuas hati dengan apa yang sudah ada pada dirinya.

Menurut Iman al-Ghazali apabila ia menyebutkan beberapa perkara di atas beliau berpendapat yang bermaksud: “Sekiranya seseorang itu berasa aman daripada beberapa keburukan di atas ini, sama ada pada yang memuji atau dipuji, maka tidak ada masalah pada pujian bahkan boleh jadi ia dituntut untuk melakukannya.” (Ihya’ Ulum al-Din 3/233)

Disamping itu, ia tidak menjadi satu kesalahan jika seseorang itu ingin memuji dengan penuh keikhlasan dari hati dan memuji disebabkan pekerjaan yang dilakukan. Sekiranya memuji tersebut hanya bagi kepuasan diri atau untuk mendapatkan sesuatu sehingga boleh merosakkan seseorang maka ia merupakan satu perbuatan yang diharamkan dalam syarak.

Baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika kamu melihat seseorang yang terlalu suka memuji maka lemparkanlah pasir di hadapan muka mereka. ” (Hadis Riwayat Muslim 5323)

Berdasarkan kata Iman Nawawi syarah kepada hadis ini menunjukkan betapa dahsyatnya seseorang yang terlalu memuji sehingga ia harus dilakukan sedemikian. Ia bermaksud bukanlah dengan kita melemparkan di wajahnya tetapi hanya dilemparkan di hadapan muka bagi menyedarkan kepada mereka bahawa kita semua datangnya dari tanah yang tidak ada nilai.

Maka, ia bertujuan bagi mengelakkan manusia daripada sifat ujub yang mampu membinasakan diri bab pepatah kata dek kerana tenggelam dengan pujian orang lain.

Antara perkara yang paling penting untuk dilakukan apabila seseorang itu dipuji terhindar daripada godaan syaitan adalah: 

1. Menginsafi diri

2. Memuji Allah dan merasakan bahawa dia paling layak dipuji adalah Allah

3. Meminta perlindungan kepada Allah supaya tidak digoda oleh syaitan yang mampu mendatangkan sifat riak

4. Berdoalah seperti mana doa yang dinyatakan oleh para alim ulama iaitu: Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang mereka ucapkan. Ampunilah aku atas kekurangan yang tidak mereka ketahui dan jadikan aku lebih baik daripada penilaian yang mereka berikan untukku.

Oleh itu, ingin memuji tidak salah tetapi perlu berhati-hati dalam pujian  kerana ia dapat menjerut seseorang. Sememangnya penghinaanlah yang membuatkan kita sedar dan memperbaiki diri jauh lebih baik daripada pujian yang menjadikan kita lalai dan lupa diri.

Jadi, berpada-padalah apabila ingin memuji seseorang dan juga berjaga-jagalah kepada mereka yang mendapat pujian tersebut. Ini kerana yang berhak dipuji adalah Allah yang Maha Hebat lagi Maha Agung.

Sumber: MSTAR