TINDAKAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain profesional, Goh Jin Wei bagi menghadapi kempen Piala Uber di Bangkok, Thailand bulan depan dianggap satu percaturan bijak.
Bekas jaguh negara, Roslin Hashim berkata, penyenaraian bekas juara remaja dunia dua kali itu yang dilihat akan memberi ‘nilai tambah’ kepada skuad negara terutamanya dalam acara perseorangan.
“Bagi saya rugilah kalau kita tidak senaraikan Jin Wei dalam skuad Piala Uber ketika ini. Saya lihat dia masih mampu bermain dengan baik walaupun dah lama tak main pada kejohanan antarabangsa.
“Jujur saya katakan, dengan apa yang ditampilkan Jin Wei pada Terbuka Korea dan Korean Masters, dia lebih bagus daripada perseorangan pertama negara ketika ini.
“Sebab apa yang saya lihat ketika ini, kita tidak ada pemain perseorangan wanita yang cukup kuat untuk menyumbang mata buat pasukan negara.
“Jadi dengan reputasi Jin Wei, saya lihat dia akan menggerunkan pihak lawan. Ia juga mungkin akan menjadi faktor untuk kita mencuri mata daripada pihak lawan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Dalam senarai pemain yang dikeluarkan BAM untuk menjalani kem latihan pusat bagi persediaan Piala Uber, Jin Wei antara pemain perseorangan yang dipilih bagi menguatkan skuad wanita negara.
Selain Jin Wei, pemain perseorangan wanita yang turut mendapat kepercayaan BAM ialah S Kisona, Eon Qi Xuan, Myisha Khairul dan Tan Zhing yi.
Sumber: SINAR HARIAN