KOTA BHARU – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan akan menganjurkan Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2022 di Pantai Geting, Tumpat selama tiga hari bermula esok.
Menurut JKKN dalam kenyataan hari ini, FKRK 2022 telah kembali menemui masyarakat Kelantan, serta pengunjung luar Kelantan setelah lama tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2020 akibat penularan wabak COVID-19 dan ianya hanya dianjurkan secara dalam talian sahaja.
“Namun, terdapat pelbagai pengisian dan program menarik menanti pengunjung antaranya pertandingan ‘Battke Of The Bands’, mewarna dan pertandingan Akhir Dikir Barat FKRK serta pelbagai permainan tradisional dan sukan rakyat,” katanya.
JKKN berkata, tambahan pula terdapat pelbagai persembahan seni, pameran dan gerai jualan program interaktif juga diadakan sepanjang tiga hari festival berlangsung.
Menurut JKKN lagi, pada malam Gala FKRK 2022 iaitu pada 18 Jun akan diadakan persembahan apresiasi gendang Kelantan yang menggabungkan alatan muzik tradisional seperti Rebana Ubi, Gendang Panjang Siam, Rebana Kercing dan Rebana Mangkuk iaitu sejenus alat gendang yang diperbuat daripada mangkuk getah dan kesenian rebana mangkuk ini hanya terdapat di Tanah Merah.
Sumber: BERNAMA