KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang menambah keperluan barangan makanan di Pangkalan Hadapan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir.
Pengarahnya, Encik Zulkhairi Zainol Abidin berkata, kebanyakan penambahan keperluan makanan diberikan kepada pangkalan hadapan yang telah kehabisan digunakan sepanjang banjir, baru-baru ini.
“Barang-barang asas makanan telah dihantar pada malam tadi oleh PDM Supermarket Sdn Bhd ke Ulu Tembeling di Jerantut bagi menambah keperluan di Pangkalan Hadapan yang telah habis digunakan sepanjang banjir yang berlaku pada 17 hingga 28 Disember lalu.
“Ia sebagai persediaan menghadapi kemungkinan hujan lebat pada akhir Disember hingga awal Januari 2022,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang, hari ini.
Berdasarkan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Pahang antara negeri yang kini berhadapan situasi hujan lebat berterusan dan berkemungkinan menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berakhir pada 2 Januari depan.
Selain Pahang, beberapa negeri lain termasuklah Kelantan, Terengganu dan Johor turut berhadapan situasi sama.
Sumber: PAHANGMEDIA