KUANTAN : Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) Negeri Pahang menempatkan 102 kaunselor bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
Pengarahnya, Encik Zulkhari Zainol Abidin berkata selain menempatkan kaunselor ini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), mereka juga digerakkan ke rumah mangsa.
“Melalui perkhidmatan-perkhidmatan yang kita sediakan, perkhidmatan yang penting dalam menangani keadaan ini adalah perkhidmatan kaunseling. Kita ada perkhidmatan kaunseling yang kita tempatkan kaunselor-kaunselor kita di semua PPS yang ada di Pahang ini.
“Di samping itu kita juga menghadapi fasa seterusnya iaitu fasa pascabanjir ini. Kaunselor-kaunselor kita turut bergerak ke rumah, untuk meneruskan sesi tersebut kerana mungkin ada mangsa yang baru kali pertama menghadapi bencana, yang hilang segala-galanya, rumah tenggelam, jadi kita dapat bantu mereka sekurang-kurangnya dapat menerima keadaan yang dihadapi oleh mereka ini dengan positif,” katanya.
Beliau berkata JKM mempunyai 14 orang kaunselor dan dibantu oleh 88 kaunselor bertauliah buat masa ini dengan kira-kira 50 mangsa banjir telah dibantu.
“Buat masa ini, seramai 14 orang kaunselor kita di seluruh Pahang dan dibantu oleh seramai 88 orang support team juga kaunselor yang bertauliah yang kita panggil psychological support team (PST).
“Mereka ditugaskan untuk membantu mangsa-mangsa yang masih lagi berada di PPS dan juga telah pulang ke rumah. Jadi secara keseluruhannya sekarang ini hampir 50 mangsa telah disantuni,” katanya.
Beliau berkata bagi mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan kaunseling ini, para kaunselor telah bergerak dari khemah ke khemah di PPS pada peringkat awal.
“Pada peringkat awal, kaunselor-kaunselor kita bergerak dari khemah ke khemah di PPS, kita akan meneroka apa isu-isu yang dihadapi oleh mangsa-mangsa di PPS tersebut. Dan mereka akan mendengar, mereka akan melayani dan juga membantu daripada segi support psychology (sokongan psikologi).
“Susulan daripada itu, jika ada kes-kes kronik yang perlukan susulan, pegawai-pegawai saya akan ke rumah, akan berada di rumah mereka bagi membantu untuk intervensi yang seterusnya,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh masa sesi kaunseling yang dijalankan bagi membantu mangsa banjir ini, beliau berkata ia bergantung kepada jenis bencana yang dihadapi mangsa.
“Sesi kaunseling ini ia depends (bergantung) pada jenis bencana yang dihadapi oleh mangsa-mangsa tersebut ada kes-kes seperti di Karak, di Bentong, mangsa yang kali pertama menghadapi bencana, mereka sangat trauma, kehilangan harta benda, rumah mereka juga dihanyutkan.
“Jadi dalam keadaan ini, memakan masa yang lamalah bagi pegawai-pegawai dan kaunselor kita membantu menangani. Untuk kes-kes biasa, mungkin di peringkat PPS kita dah boleh selesai,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga membuka talian telekaunseling bagi memudahkan mana-mana pihak yang memerlukan khidmat kaunseling untuk menghubungi pihak JKM.
“Kita buka talian telekaunseling yang mana kita telah buat hebahan di media sosial dan pegawai-pegawai saya sedia dihubungi melalui talian tersebut. Di setiap daerah kita buka talian-talian ini, bukan sahaja secara telekaunseling malah pegawai-pegawai saya sentiasa berada di PPS dan juga di Pejabat JKM daerah yang berhampiran,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA