JKM Pahang terima 11,905 aduan sejak Jun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menerima 11,905 aduan pengguna yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam tempoh Jun hingga Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihaknya membuka 12 bilik gerakan di setiap daerah termasuk Ibu Pejabat JKM Pahang, di sini yang beroperasi pada waktu pejabat.

“Aduan yang paling banyak JKM terima ialah membabitkan bantuan bakul makanan dan masalah kewangan. Kita sentiasa bersedia membantu memberi bantuan kewangan dan keperluan asas, termasuk menerusi kerjasama dengan Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (Makpen) untuk kelancaran agihan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, JKM turut menyediakan khidmat kaunseling dan psikologi kepada mereka yang berhadapan masalah hingga menjejaskan kehidupan.

Zulkhairi berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya membantu individu terbabit untuk terus menjalani kehidupan lebih bermakna, produktif dan mencapai kesejahteraan psikologi yang optimum.

“Tidak dinafikan sepanjang PKP dilaksanakan ramai yang menghadapi tekanan hingga sanggup melakukan tindakan yang tidak normal,” katanya.

Sumber: My Metro