JKM Peruntuk Hampir RM32 Juta Untuk Bantu Urus Mangsa Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – Kerajaan persekutuan dan negeri telah memperuntukkan hampir RM32 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  untuk pengurusan bencana banjir  di seluruh negara apabila berdepan kemungkinan Monsun Timur Laut tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata, selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah menyalurkan peruntukan RM140,000 untuk JKM melaksanakan program kesiapsiagaan di seluruh negara.

 “Di seluruh negara kita mempersiapkan sebanyak 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk 442 PPS di Kelantan,” katanya selepas merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini, hari ini.

Katanya, JKM juga telah memaksimumkan kapasiti barang keperluan bencana di lapan buah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 193 buah Setor Bencana Negeri, Daerah dan Mini Depoh Kontena serta 518 buah Pangkalan Hadapan.

Sumber : BERNAMA