JKNP Keluar Kompaun Hampir RM3 Juta Sepanjang Tahun Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan kompaun bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bernilai hampir RM3 juta sepanjang tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ini melibatkan 1,746 kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula Januari sehingga 31 Oktober lepas.

“Kesemua kompaun yang dikeluarkan bernilai RM2,920,476 di atas pelbagai kesalahan pematuhan SOP terutamanya kesalahan gagal menggunakan aplikasi MySejahtera sebanyak 744 kompaun atau 42.6 peratus, dan gagal memakai pelitup muka sebanyak 517 kompaun (29.6 peratus).

“Lima daerah dengan pengeluaran kompaun tertinggi adalah Kuantan iaitu 521, Temerloh (284), Bentong (216), Rompin (193), dan Bera (121). Sebanyak 1,487 premis juga telah ditutup bagi aktiviti pencegahan dan pengawalan penyakit COVID-19,” katanya.

Operasi Bersepadu Akta 342 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT) di Negeri Pahang bersama Pengarah Kesihatan Negeri Pahang di sekitar Indera Mahkota.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Operasi Bersepadu Akta 342 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT) di Negeri Pahang bersama Pengarah Kesihatan Negeri Pahang di sekitar Indera Mahkota.

Menurut beliau lagi, sebanyak 1,314 notis kesalahan bernilai RM328,500 telah dikeluarkan dalam tempoh sama bagi kesalahaan melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Sebanyak 643 kompaun iaitu 48.9 peratus merupakan kesalahan merokok di tempat makan, 292 (22.2 peratus) di kompleks membeli-belah, dan 85 (6.5 peratus) di pusat hentian rehat dan rawat.

“Lima daerah dengan pengeluaran notis tertinggi adalah Maran sebanyak 298, Bentong (241), Bera (152), Rompin (114), dan Kuantan (100),” katanya.

Tambah beliau lagi, kesemua kompaun yang dikeluarkan ini bukan satu kebanggaan kepada pihak JKNP tetapi ia merupakan langkah terakhir bagi mendidik masyarakat.

“Kita tak berbangga dengan banyak mana kita keluarkan kompaun dan penguatkuasaan yang dijalankan merupakan aktiviti terakhir kita. Pahang merupakan negeri tertinggi dari segi pengeluaran kompaun KKM di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan pengeluaran notis kesalahan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.

Sebanyak lima kompaun telah dikeluarkan dalam operasi hari ini melibatkan tiga kesalahan iaitu tidak mendaftar masuk ke premis menggunakan MySejahtera, tidak lengkap dos vaksin tetapi makan di kedai, dan merokok di kedai makan berjumlah RM4,250.

Sumber: PAHANGMEDIA