JKNP Masih Tunggu Keputusan WGS Untuk Sahkan Varian Omicron

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sedang menunggu keputusan ujian jujukan genom penuh (WGS) ke atas sample kontak rapat bagi mengesan kes COVID-19 varian Omicron daripada dua kluster.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kluster tersebut melibatkan jemaah umrah iaitu Kluster Jengka 25 Saudi dengan enam kes dari Daerah Temerloh dan Pekan serta Kluster Keratong 5 Saudi (25 kes) dari Daerah Rompin.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus.

“Walaupun setakat ini hanya enam kes disahkan varian Omicron namun ujian jujukan genom penuh (WGS) ke atas sample kontak rapat sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Pahang juga telah mengesan dua lagi Kluster melibatkan jemaah Umrah di Daerah Rompin iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dengan sembilan kes dan Kluster Keratong 2 Saudi 11 kes dan masih menunggu pengesahan WGS.

Justeru, katanya, kerajaan telah menangguhkan perlaksanaan ibadah umrah selama sebulan bermula esok bertujuan membendung penularan varian Omicron.

“Walaupun jangkitan varian Omicron telah dibuktikan bersifat ringan tetapi kadar jangkitannya adalah tiga kali ganda berbanding varian Delta dan sekiranya tidak dibendung awal, jangkitan berisiko untuk meluas dan bakal memberi beban besar kepada pihak hospital.

“Tiada siapa yang pernah menjangka impak pandemik COVID-19 kepada dunia termasuk Malaysia dan setakat ini semua negara sedang berusaha keras memikirkan tindakan kawalan terbaik untuk keluar dari pandemik ini dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengekang penularan tersebut orang ramai diminta untuk mendapatkan dos penggalak selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sehingga 6 Januari 2022, kes kumulatif COVID-19 yang dikesan varian Omicron di negara ini adalah sebanyak 245 kes dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 157 kes (64.08%) merupakan jemaah Umrah.

Sumber: PAHANGMEDIA