Kuala Terengganu: Golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan di negeri ini diminta menceburi bidang pertanian khususnya tanaman Melon Manis Terengganu (MMT).
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris berkata, golongan belia perlu mengambil peluang menceburi bidang pertanian yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang.
“Khususnya penanaman MMT yang diberi hak eksklusif kepada petani di
negeri ini.
“Setakat ini, hak untuk menanam MMT hanya diberikan kepada petani di negeri ini. Benih MMT diedar oleh Koperasi MMT Bhd (KOPMET) untuk anak Terengganu sahaja.
“Paling penting MMT antara tanaman yang mengeluarkan hasil yang singkat dan boleh ditanam dan berbuah empat kali setahun,” katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Ketua Pengarah Pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir, di sini.
Turut hadir pada program itu Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zulkefli Amin dan Pengerusi KOPMET Tengku Norulhuda Tengku Muhammad.
Mohd Nasir berkata, pihaknya menyediakan bantuan khas di bawah bantuan petani muda untuk mengembangkan kegiatan pertanian yang dijalankan.
“Sebanyak RM20,000 disediakan untuk seorang petani. Mereka perlu bermula dahulu dan menunjukkan kesungguhan kepada kami sebelum memohon bantuan khas yang disediakan itu.
“Kami memang ingin membantu mereka untuk maju tetapi pada masa sama mereka juga perlu memberi keyakinan kepada kami dengan mengusahakan tanaman itu dulu.
“Mulakan apa sahaja kegiatan pertanian atau tanaman yang berpontensi selepas itu boleh buat permohonan, kami akan membuat penialaian dan menyalurkan bantuan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya menyasarkan lebih 200 tan matrik pengeluaran MMT di negeri ini pada tahun ini.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima menggalakkan dan petani di bawah selian Jabatan Pertanian Negeri membuat kerjasama dengan syarikat Pos Malaysia Berhad untuk memasarkan hasil ke luar Terengganu.
“Kami harap pasaran MMT dapat diperluaskan dan promosi akan dijalankan daripada masa ke semasa,” katanya.
Sumber: My Metro