KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 186 notis saman terhadap pemandu warga asing dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) di sini, semalam.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, berkata pihaknya turut menyita 83 kenderaan termasuk tiga lori, lapan kereta, 11 motosikal roda tiga dan 69 motosikal.
Katanya, antara kesalahan dikesan dilakukan pemandu warga asing ialah tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, kenderaan tiada perlindungan insurans dan salah guna lesen kenderaan motor.
“Dalam operasi yang diadakan itu juga, Jabatan Imigresen (Imigresen) Kelantan turut menahan enam warga asing terdiri daripada seorang warga Pakistan dan lima etnik Rohingya atas kesalahan tidak dapat mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Selain itu, Majlis Daerah Ketereh juga mengeluarkan 14 notis kompaun terhadap pemilik premis yang melakukan kesalahan salah guna pelesenan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media PEWA di Pejabat JPJ Panji, di sini, hari ini.
Operasi PEWA yang diadakan itu membabitkan 43 pegawai dan anggota terdiri daripada JPJ Kelantan, Majlis Daerah Ketereh, dan Imigresen Kelantan.
Tujuan operasi adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu warga asing dan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awan Darat 2010 (Akta 715).
Beliau berkata, secara keseluruhannya JPJ Kelantan merekodkan 1,350 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan serta menyita 120 kenderaan membabitkan pemandu warga asing bermula 2021 sehingga Februari 2023.
Mohd Misuari mengingatkan masyarakat tidak memberi sewa atau meminjamkan kenderaan milikan individu kepada warga asing kerana ia suatu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah.
“Tindakan pemilik kenderaan yang mengaut keuntungan hasil daripada menyewakan kenderaan kepada warga asing amat merugikan kerajaan kerana berlaku ketirisan hasil negara.
“Dalam pada itu, warga asing yang memandu kenderaan tanpa lesen sah sekiranya terbabit dalam kemalangan akan menyukarkan untuk membuat tuntutan insurans pihak ketiga,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN