KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 632 notis saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi bersepadu selama dua jam di Plaza Tol Awan Besar (menghala Bukit Jalil) di sini, malam tadi.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata daripada jumlah itu, 498 notis saman membabitkan lima kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong garisan berkembar dan memandu melebihi had laju.
Katanya, daripada jumlah saman itu juga, 34 notis adalah larangan penggunaan kenderaan, 81 notis arah periksa kenderaan, 10 notis arah timbang dan sembilan notis penahanan kenderaan membabitkan enam motosikal.
“Dalam operasi ini, sebanyak 1,122 kenderaan diperiksa dan 401 daripadanya dikenakan tindakan pelbagai kesalahan.
“Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memeriksa 15 kenderaan dan lapan daripadanya diambil tindakan atas kesalahan bunyi bising,” katanya pada sidang media di plaza tol berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Razali Mohamad.
Sementara itu, dalam operasi bersepadu itu, Jabatan Imigresen menahan lapan warga Myanmar, dua warga Bangladesh dan masing-masing seorang warga India serta Indonesia kerana masalah dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga menahan enam individu kerana disyaki terbabit kes penyalahgunaan dadah jenis syabu dan ganja.
“Op bersepadu ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti secara dekat kadar pematuhan peraturan jalan raya ke arah mengurangkan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya menjelang musim cuti persekolahan,” katanya.
Lokman berkata, operasi itu membabitkan Polis Diraja Malaysia, AADK, JAS, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Sumber: BERNAMA