JPJ NS Rekod Kesalahan Babit Muatan Tinggi Tahun Lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengesan 7,801 kesalahan lebih muatan dan 1,697 kesalahan muatan bahaya membabitkan kenderaan berat sepanjang tahun lalu.

Pengarah, Hanif Yusabra Yusuf, berkata berdasarkan statistik 2021 sebanyak 30,859 kesalahan membabitkan kenderaan barangan direkodkan dan hampir satu pertiga adalah kesalahan membabitkan muatan.

“Ada yang membawa muatan menyamai dua lori iaitu lebih 80 peratus dan bagi kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda mengikut Seksyen 57(3) akta sama iaitu tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius kesalahan membabitkan pengusaha dan pemandu lori yang membawa lebih muatan kerana boleh memberi risiko kepada pengguna jalan raya lain.

Katanya, sepanjang tahun lalu juga sebanyak 65,932 kenderaan barangan diperiksa dan 13,572 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, JPJ Negeri Sembilan juga mengeluarkan 6,682 saman kerana kesalahan pelesenan sepanjang tahun lalu membabitkan lesen tamat tempoh, tiada lesen dan tiada lesen mengikut kelas yang ditetapkan.

“Selain itu, sebanyak 8,271 saman membabitkan kesalahan teknikal, 3,685 kesalahan pelesenan kenderaan dan 2,723 saman bagi lain-lain kesalahan.

“Tindakan penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan pengusaha dan pemandu kenderaan berat mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk keselesaan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Sumber: Berita Harian