JPJ Terengganu pantau kegiatan kereta sapu di PPV

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu giat memantau kegiatan teksi haram atau kereta sapu yang dibimbangi mengambil kesempatan menipu orang ramai yang mahu ke pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini.

Pengarahnya Zulkarnain Yasin berkata, langkah itu dilakukan pihaknya sejak Mei lalu bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa kegiatan kereta sapu itu dengan membuat pemantauan di 14 PPV di seluruh Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah awal melakukan operasi itu kerana bimbang ada individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan membawa penerima vaksin untuk menerima suntikan di PPV yang ada.

“Kalau perkhidmatan seperti Grab itu tidak ada masalah tetapi yang kita pantau kereta biasa (kereta sapu) yang dibimbangi mengambil kesempatan terhadap penerima suntikan vaksin dengan bayaran yang tidak munasabah.

“Kita ambil langkah awal mengadakan operasi itu termasuk melakukan penyamaran untuk memantau isu ini namun sehingga kini, tiada sebarang kes atau aduan diterima berkaitan kegiatan berkenaan.

“Walaupun tiada sebarang kes atau aduan diterima setakat ini, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ cawangan UTC Kuala Terengganu di sini.

ZULKARNAIN meninjau operasi kaunter JPJ Terengganu sepanjang tempoh Pelan Pemulihan negara di UTC.  FOTO Ghazali Kori
ZULKARNAIN meninjau operasi kaunter JPJ Terengganu sepanjang tempoh Pelan Pemulihan negara di UTC. FOTO Ghazali Kori

Zulkarnain berkata, pihaknya turut melakukan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa yang lain untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, seramai 24 pegawai dan 39 anggota digerakkan untuk memantau pematuhan SOP Covid-19 yang melakukan operasi mengikut giliran.

“Selain pemantauan di PPV di seluruh Terengganu, kita turut melakukan operasi di terminal bas utama negeri Terengganu, sekatan jalan raya (SJR) laluan utama bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan kawasan perindustrian,” katanya.

Sumber: My Metro