CHUKAI – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 12,008 permohonan dokumen kad pengenalan, sijil kelahiran dan kematian bermula 1 Januari hingga 22 Mei tahun ini, menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Ketua Pengarah JPN Zamri Misman berkata program itu telah mencapai matlamatnya dalam membantu golongan sasaran termasuk orang asli, rakyat di pedalaman dan individu yang tidak berupaya seperti pesakit terlantar.
Beliau berkata selain itu JPN juga berjaya melepasi sasaran dengan menganjurkan purata 136 program MEKAR sebulan berbanding 80 yang ditetapkan tahun ini.
“Sebanyak 11,647 daripada 12,008 permohonan telah diselesaikan. Permohonan tertinggi diterima dari Sarawak,” katanya selepas Program MEKAR di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Syahri Ahmad Shaharuddin dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu, Mohd Hafizi Ramli.
Sementara itu Zamri berkata program MEKAR di seluruh negara akan diperhebatkan lagi dengan perolehan 12 van bernilai RM5 juta yang bakal diterima tahun ini.
Katanya untuk tahun depan, pihaknya telah membuat permohonan bagi mendapatkan kenderaan pacuan empat roda untuk memudahkan akses ke kawasan pedalaman terutama di Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang dan Perak.
“Kenderaan pacuan empat roda yang ada dah uzur, jadi kita berdepan cabaran untuk masuk ke kawasan pedalaman.
“Tetapi kita berterima kasih kerana mendapat kerjasama daripada rakan strategik seperti JAKOA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan persatuan-persatuan kenderaan pacuan empat roda yang bantu masuk ke kawasan pedalaman,” katanya.
– BERNAMA