PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penggunaan bekas bukan untuk tujuan makanan seperti menggunakan akuarium sebagai medium penyimpanan air.
Malah, perbuatan itu merupakan satu kesalahan berdasarkan arahan Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan untuk penyimpanan air bagi tujuan jualan.
“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca, acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum selain
phthalates yang boleh larut dalam air seterusnya mengakibatkan kesan kepada kesihatan.
“KKM melalui BKKM sentiasa menjalankan pemantauan atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM melalui Bahagian Keselamatan dan KualitiMakanan (BKKM) menegaskan perkara itu sebagai merujuk isu tular di media sosial berkaitan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan baru-baru ini.
KKM mengingatkan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius tentang keselamatan makanan serta memastikan makanan dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua.
“KKM menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih. Kami juga sentiasa komited memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin agar kesihatan penguna sentiasa terpelihara.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat,” katanya.
Pengguna juga boleh melayari laman sesawang
http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan
(BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – UTUSAN