Jualan Keluarga Malaysia hingga harga turun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Jualan Keluarga Malaysia bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang akan diteruskan hingga isu terbabit selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jualan itu yang bermula Sabtu ini di 222 kawasan Parlimen menawarkan harga barang keperluan harian 20 hingga 50 peratus lebih murah, berbanding tempat lain.

Katanya, jualan itu akan diadakan di dua tempat di setiap Parlimen dengan pemilihan lokasi mempunyai penduduk B40 dan M40.

“Perancangan awal diadakan selama dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen dan kita sasarkan hingga Februari tahun depan.

“Kita akan lihat bergantung kepada keadaan situasi harga. Kalau harga berterusan tak turun, kita akan meneruslan program ini sehinggalah harga barang turun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Keluarga Malaysia di Lembah Pantai, di sini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Rosol Wahid.

Program Jualan Keluarga Malaysia dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Kewangan.

Ismail Sabri berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) membabitkan semua kementerian minggu depan, bagi mencari jalan intervensi lain untuk terus membantu rakyat.

“Sebagai contoh sebelum ini, harga ais batu dinaikkan walaupun tarif elektrik tak naik. Itu berlaku dikatakan sebab kos pengangkutan. Jadi melalui mesyuarat itu, kita akan juga babitkan Kementerian Pengangkutan untuk mencari jalan intervensi,” katanya.

Katanya, kerajaan memberi amaran akan berkompromi dengan peniaga yang menaikkan harga barang tanpa sebab dengan mengambil tindakan tegas ke atas mereka.

“Saya tidak akan berkompromi begitu juga KPDNHEP. Jika ada kumpulan tertentu yang tidak beretika dan mengambil kesempatan, akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut melakukan tindakan intervensi dengan memperuntuk bantuan berjumlah RM262 juta bagi membantu peladang yang terjejas, susulan kenaikan harga baja dan racun.

Selain itu katanya, kerajaan juga menyediakan dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman dalam sektor agromakanan bagi mengatasi masalah kenaikan harga bahan makanan dengan menetapkan kadar faedah sifar, di samping pemberian moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada penerimanya.

(Dari kanan) K Magesh 44, Danny Lim, 34, Meni anak Untai, 35, Natrah De Silva, 32 memilih telur yang dijual pada Jualan Keluarga Malaysia, Lembah Pantai, hari ini. - Foto NSTP/FATHIL ASRI
(Dari kanan) K Magesh 44, Danny Lim, 34, Meni anak Untai, 35, Natrah De Silva, 32 memilih telur yang dijual pada Jualan Keluarga Malaysia, Lembah Pantai, hari ini. – Foto NSTP/FATHIL ASRI
Ismail Sabri melawat gerai menjual barang dapur selepas merasmikan Jualan Keluarga Malaysia di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/FATHIL ASRI
Ismail Sabri melawat gerai menjual barang dapur selepas merasmikan Jualan Keluarga Malaysia di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini. – Foto NSTP/FATHIL ASRI

Sumber: Berita Harian