Jualan minyak masak terpakai jana pendapatan sekolah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian menjadi sekolah pertama di Malaysia yang melaksanakan program mengumpul dan mengitar semula minyak masak terpakai untuk dijadikan biodiesel.

Pengetuanya Khairani Sabtu berkata, melalui Projek Eko-Komuniti, sekolah berkenaan menjadi contoh kepada program tanggungjawab sosial korporat syarikat FatHopes Energy Sdn Bhd yang berpengkalan di Subang bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan mengitar semula minyak masak terpakai.

Katanya, pada peringkat awal progam ini, sumbangan minyak masak terpakai berasaskan sayuran hanya diambil daripada pelajar serta guru yang akan membawanya dari rumah untuk dimasukkan ke dalam tangki khas dan ditempatkan di satu sudut di sekolah.

“Projek Eko-Komuniti ini tercetus susulan daripada kejayaan pelajar yang berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandingan Projek Toyota Eco Youth 2020/2021 Reimagining Mobility yang dianjurkan oleh Toyota Malaysia, April lalu.

“Dalam pertandingan ini, pelajar mencipta satu bentuk aplikasi Recybin Apps bagi membantu mengatasi masalah salah urus sampah kitar semula yang sekaligus menarik perhatian pihak pengurusan tertinggi FatHopes Energy Sdn Bhd untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah.

“Objektif utama Recybin Apps ini dicipta adalah untuk memperkasakan kempen kitar semula di setiap lapisan masyarakat termasuk di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui di SMK Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil jualan minyak masak terpakai kepada FatHopes Energy dimasukkan ke dalam tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk membantu pendidikan pelajar di sekolah berkenaan.

“Bagi menjayakan usaha itu, kempen edaran maklumat perlu diperluaskan khususnya di kawasan kediaman, restoran, pasar malam, dewan makan asrama sekolah dan sebagainya.

“Selain mengumpul minyak terpakai ini, kami juga menjalankan tanggungjawab memupuk kesedaran untuk menyelamatkan alam sekitar kepada pelajar sekolah dan komuniti setempat dan pada masa sama masyarakat setempat juga dipelawa menyumbang minyak masak terpakai kepada sekolah.

“Alhamdulillah, menerusi kerjasama yang dijalankan ini, selain pihak sekolah dapat menjana pendapatan sampingan, ia juga pada masa sama membolehkan pelajar mengetahui cara betul untuk mengitar semula,” katanya.

Sumber: My Metro