KUALA LUMPUR: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat serta udara antara Malaysia dan Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada iaitu pengurangan 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.
Katanya, penumpang yang membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan mengikut kuota ditetapkan sebelum ini.
“Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket akan bergantung kepada penilaian risiko dilakukan dari semasa ke semasa dan secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan situasi COVID-19 di kedua-dua negara.
“Pengembara menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura adalah diingatkan mengenai keperluan untuk melaksanakan Ujian RTK-Ag atau Ujian Pantas Antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan, selain Ujian RTK-Ag atau Ujian Pantas Antigen (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.
“Ia selaras pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara, termasuk pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa Malaysia melalui inisiatif VTL,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL antara Malaysia-Singapura (darat dan udara), digantung sementara berkuat kuasa 23 Disember lalu hingga semalam.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini penularan COVID-19 membabitkan varian Omicron yang dilaporkan Singapura.
Dalam pada itu, Khairy berkata pihaknya menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta SOP ditetapkan.
“Lakukan ujian pengesanan COVID-19 mengikut ketetapan digariskan bagi mengetahui status risiko diri seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.
“Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan membabitkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.
Sumber: Berita Harian