Jumlah Kutipan Boleh Kembali Cecah Lebih RM200 juta Melalui Perkhidmatan di UTC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di Jalan Hamzah mampu meraih kutipan mencecah lebih RM200 juta setahun, menerusi semua perkhidmatan yang ditawarkan apabila ia kembali beroperasi sepenuhnya, dalam tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata mengikut rekod, sebelum pandemik COVID-19, kutipan mencecah lebih RM200 juta pernah dicatatkan.

“Bagaimanapun bagi tempoh 15 Jun tahun 2020 sehingga Disember tahun lepas, seramai 404,863 pengunjung telah direkodkan dengan kadar purata pengunjung bulanan pada tahun lalu seramai 16,436 pengunjung.

“Saya yakin dengan pembukaan semula UTC yang kini dibuka sepenuhnya, susulan negeri Kelantan telah berada dalam Fasa 4 PPN, jumlah pengunjung akan kembali seperti sebelum ini iaitu 725,000 pengunjung setahun, direkodkan dengan kutipan lebih RM227 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program Jelajah Bajet 2022 di UTC Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia Datuk Asri Hamidon.

Terdahulu, Tengku Zafrul turut menyampaikan bantuan musim tengkujuh kepada 15 orang penoreh getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), serta sesi penyerahan hadiah cabutan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) kepada tiga orang penerima bertuah.

Mengulas mengenai Program Jelajah Bajet 2022 itu Tengku Zafrul berkata, program berkenaan merupakan siri pertama yang bermula di Kelantan sebelum ia akan diperluaskan di negeri-negeri lain, agar ia dapat direalisasikan dengan jayanya demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

“Ia merupakan salah satu inisiatif MOF bagi menjelaskan tentang pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan kepada rakyat dalam Bajet 2022.

Program Jelajah Bajet 2022 di Kelantan bermula hari ini itu dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Bendahara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan, diikuti lawatan ke beberapa lokasi iaitu Pasar Besar Siti Khadijah, Kampung Cina, Kota Bharu, Tok Bali Supply Base dan Kelantan Authentic Lifestyle & Arts (KALA) Central serta menghadiri sesi taklimat Bajet 2022 bersama penjawat awam di Kompleks Kota Darul Naim.